KLUANG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada seorang kanak-kanak perempuan yang pernah menjadi mangsa dera dan kini masih berada bawah jagaan pihaknya.
Pegawai Pelindung Kanak-Kanak (JKM) Kluang, Siti Aisyah Kamaruzzaman berkata, sebelum ini Abida Putri ini dilahirkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada 28 September 2018.
Menurut beliau, kanak-kanak tersebut kemudian dijaga seorang wanita warga negara asing.
“Pada 7 Disember 2022, kanak-kanak ini diserahkan oleh pihak HEBHK kepada JKM Kluang selepas menjadi mangsa dera kepada teman lelaki wanita yang menjaganya.
“Ketika penyerahan dilakukan, tiada sebarang dokumen disertakan termasuk surat saftar kelahiran menyebabkan pihak JKM tidak dapat mengesahkan kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu katanya, JKM berharap waris kepada kanak-kanak itu tampil membantu pihaknya terutama untuk proses pendaftaran lewat kelahiran bagi membolehkan Abida mempunyai dokumen diri lengkap.
Menurut Siti Aisyah lagi, akibat ketiadaan sebarang dokumen, kanak-kanak itu yang kini masih dalam penjagaan pihaknya gagal untuk dihantar ke sekolah walaupun sudah berusia lapan tahun pada tahun ini.
“Waris yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak ini boleh berhubung terus dengan saya ditalian 07-7722434 bagi mengatur temu janji agar dapat menyelesaikan masalah dokumentasinya,” katanya.- MalaysiaGazette
















