JOHOR BAHRU -Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad menjelaskan beliau tidak menerima permohonan menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee di sini semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri ini.
Kata beliau, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan negeri, penduduk kampung itu belum lagi memohon status tanah mereka ditukar daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal seperti mana yang dibangkitkan sekarang ini.
Oleh itu, katanya, persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah mengapa baru sekarang beliau memperjuangkan isu itu, bukan semasa menjadi Exco adalah kerana permohonan sudah dibuat secara rasmi kepada kerajaan negeri ketika ini.
“Dalam kenyataan YB Hairi dalam Facebook (FB) miliknya dan juga komen yang saya terima dalam FB saya, ramai yang bertanya kenapa semasa saya menjadi Exco Perumahan Kerajaan Johor PH1.0, Kampung Melayu Majidee yang berstatus TRM hak milik pajakan (leasehold) tidak ditukar kepada TRM hak milik kekal (freehold) sebagaimana yang saya bangkitkan sekarang ini.
“Jawapannya adalah pada masa tersebut (2018-2020) tidak ada sebarang permohonan yang dibuat kepada Kerajaan Johor oleh penduduk Kampung Melayu Majidee untuk menukar status TRM hak milik pajakan kepada TRM hak milik kekal.
“Keadaan ini berbeza pada masa sekarang, di mana telah ada permohonan rasmi yang dibuat oleh pemilik tanah melalui pihak Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) kepada kerajaan negeri bagi menukar status TRM hak milik pajakan kepada TRM hak milik kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dzulkefly, sekiranya ada permohonan pada masa itu kerajaan negeri akan mengambil tindakan serta mengenal pasti pendekatan penyelesaian yang terbaik terhadap permohonan atau isu yang dibangkitkan.
Katanya, penyelesaian yang terbaik adalah bersifat menang-menang antara pihak kerajaan dan rakyat.
“YB Hairi ada menyebut berkaitan laporan Berita Harian bertarikh 23 Disember 2019 dimana YB Datuk Dr Sahruddin Jamal, Menteri Besar Johor pada masa tersebut secara jelas menyatakan pendirian kerajaan negeri untuk terus mempertahankan status TRM bagi Kampung Melayu Majidee.
“Pada saya kenyataan ini merupakan satu penegasan selari dengan peruntukan Seksyen 9, Enakmen Rizab Melayu Johor 1936 di mana dengan jelas menyatakan tiada tanah yang diisytiharkan sebagai Rizab Melayu boleh dipindah milik, dipajak, digadai atau dilupuskan dengan apa-apa-apa cara kepada orang bukan Melayu.
“Pengecualian hanya wujud jika kerajaan membatalkan (dinyah-warta) terlebih dahulu status Rizab Melayu dengan syarat tanah gantian Rizab Melayu disediakan, biasanya sama saiz dan sama nilainya,” ujarnya
Beliau menjelaskan, kenyataan Dr. Sahruddin itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pendirian kerajaan negeri pada masa tersebut untuk terus mengekalkan jenis pegangan hak milik TRM Kampung Melayu Majidee sebagai hak milik pajakan.
“Kita perlu faham status TRM dan jenis pegangan hak milik (tenure) adalah merupakan dua perkara yang berbeza. Status TRM adalah merupakan satu bentuk sekatan kepentingan di mana TRM hanya boleh dimilikki, dipindah milik, dipajak dan digadai kepada orang Melayu sahaja.
“Sementara jenis pegangan hak milik adalah sama ada sesuatu hak milik tersebut adalah pajakan atau kekal selama-lamanya. Dengan kata lain TRM boleh berstatus pajakan (leasehold) atau pun kekal selama-lamanya (freehold),” katanya.
Beliau berharap dengan penjelasan dan pencerahan yang diberikan itu akan dapat menjernihkan sebarang kekeliruan berkaitan isu Kampung Melayu Majidee.
“Pada YB Hairi saya suka nasihatkan, cukup-cukuplah melebel orang dengan pelbagai gelaran seperti tidak bertanggungjawab, mengelirukan rakyat, penghasut, bermotif politik sempit, retorik murahan dan lakonan politik bermusim.
“Kita hormatilah bulan Syaaban dan Ramadan yang bakal menjelang. Janganlah kita terlalu ghairah dengan politik melebel tetapi biarlah kita berpolitik secara matang dan berpolitik secara hujah dan fakta,” tambahnya.
Dzulkefly sebelum ini mencadangkan kerajaan negeri melakukan inisiatif menukar status TRM kampung tersebut seperti yang dimohon penduduk dan mencontohi penyelesaian dilakukan Kerajaan Negeri Sembilan ketika berdepan isu sama dengan menukar statusnya.
Mohd Hairi kemudian mendakwa permohonan menukar status TRM berkenaan tidak termasuk dalam Seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu tidak boleh ditukar statusnya.
Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat itu mempersoalkan mengapa Dzulkefly tidak memperjuangkan isu tersebut semasa menjadi Exco kerajaan negeri.
Mohd Hairi juga mendakwa Dzulkefly sebagai tidak bertanggungjawab, mengelirukan rakyat, plmenghasut, bermotif politik sempit, retorik murahan dan lakonan politik bermusim kerana tidak membangkitkan isu tersebut semasa menjadi Exco kerajaan negeri.
Pada 20 April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk kampung itu terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM kampung berkenaan dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar. – MalaysiaGazette
















