Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperluaskan ujian saringan dan pengesanan awal penyakit tibi dan Virus Nipah khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan padat, pusat tahanan, sarama pekerja dan komuniti rentan.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, dalam masa yang sama pemantauan kontak rapat perlu diperkasakan bagi membentung penularan pada peringkat awal.

Katanya lagi, kerajaan juga disaran melaksanakan kempen kesedaran awam bagi memastikan masyarakat peka terhadap simptom awal, cara jangkitan dan rawatan awal.

“Mereka perlu dididik untuk tidak melengahkan masa bagi mendapatkan rawatan segera sekiranya terdapat simptom-simptom penyakit yang mencurigakan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Lawrence, kerajaan juga wajar untuk mempertingkatkan kerjasama di antara kementerian yang terlibat khusus bagi memantau haiwan pembawa virus Nipah seperti kelawar dan ternakan.

“Langkah ini perlu kerana virus ini boleh merebak kepada manusia melalui haiwan liar dan ternakan selain berupaya menular antara manusia.

“Kesiapsagaan sistem kesihatan juga perlu dipertingkatkan melalui latihan berkala kepada petugas kesihatan, penambahan kapasiti makmal dan kemudahan isolasi, serta penyediaan peralatan perlindungan diri yang mencukupi,” tambahnya.

Terdahulu, Lawrence memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri Johor dalam mengekang penularan tibi di daerah Kota Tinggi.

“Peningkatan kes penyakit tibi dan kebimbangan terhadap potensi penularan virus Nipah wajar diberi perhatian serius kerana kedua-duanya membawa implikasi besar terhadap keselamatan kesihatan awam negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam.

Katanya, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

Terbaharu dilaporkan, seramai enam murid di daerah itu disahkan menghidapi tibi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast