KUALA LUMPUR – Selepas sebulan kejadian patah tulang pinggul kanan, pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan dan tindak balas daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perkembangan terkini itu dikongsikan oleh Pegawai Khas bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, Dr. Mahathir kini dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat namun masih berada di bawah pemantauan pasukan perubatan IJN.
“Hari ini, genap sebulan Dr. Mahathir dirawat dan sejak dua hari yang lepas, pada 4 dan 5 Februari, Dr. Mahathir telah dibenarkan “home leave” iaitu pulang dan tidur di kediaman beliau.
“Di sebelah siang pula, Dr. Mahathir pulang ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini pakar perubatan turut menasihatkan supaya Dr. Mahathir tidak menerima pelawat, selain keluarga.
Katanya, Dr. Mahathir, isteri dan keluarganya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.- MalaysiaGazette
















