Seorang lelaki ditahan kerana terlibat samun wanita warga emas dalam rumahnya di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, Kluang.

KLUANG – Polis menahan seorang daripada dua lelaki yang melakukan samun terhadap seorang wanita warga emas dalam rumahnya di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, dekat sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek yang lingkungan 20 tahun berjaya ditahan pukul 5 petang kelmarin di tepi jalan Ayer Hitam di Kampung Benut, Simpang Renggam.

“Semakan mendapati tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah namun saringan ujian air kencing mendapati tiada pengaruh sebarang jenis dadah.

“Sebelum itu pihak polis menerima laporan kejadian pukul 12.31 tengah hari pada 29 Januari lalu daripada mangsa sebelum siasatan dilakukan bagi mengesan suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 76 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1,200 selepas gelang tangan emas miliknya dilarikan oleh suspek.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh dua puluh tahun dan sebatan.

“Suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 9 Februari bagi membantu siasatan dan usaha menjejaki seorang lagi rakan sejenayah sedang giat dilakukan,” katanya.

Bahrin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast