KLUANG – Kebakaran ladang Peninsular Plantation Sdn Bhd di Simpang Renggam di sini sejak seminggu lalu mengakibatkan 870 batang pokok kelapa sawit musnah dengan kerugian RM70,000 setahun untuk tempoh 10 tahun.
Pemilik ladang itu, Koh Soo Koon, 62, berkata, kebakaran ladang jenis tanah gambut tersebut yang berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini mengakibatkan semua pokok kelapa sawit terbabit rosak.
“Usia pokok kelapa sawit yang terbakar itu baru berusia 15 tahun pada tahun ini.
“Penanaman semula kepada pokok kelapa sawit yang baharu perlu memakan masa kerana terpaksa menunggu pokok yang tidak rosak mencapai umur 25 tahun.
“Faktor lain pula perlu menunggu keadaan tanah terbakar itu kembali pulih kepada keadaan biasa. Bagaimanapun bernasib baik kerana setiap lot penanaman kelapa sawit itu dipisahkan dengan parit berair.
“Ini secara tidak langsung menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan lebih luas,” katanya ketika ditemui hari ini.
Selain itu katanya, ladang berkenaan turut mempunyai tanaman nanas tetapi kebakaran tersebut tidak membabitkan pokok nanas kerana penanaman yang baharu belum dilakukan.
Namun katanya, penanaman baharu juga perlu menunggu masa yang lama kerana tanahnya sudah terbakar dan perlu masa untuk pulih seperti biasa.
“Apa yang dapat saya katakan di sini hanyalah ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran di dua kebun saya sejak Sabtu lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba Siti Hajar Sanusi berkata, operasi pemadaman kebakaran yang melibatkan keluasan 8.9 hektar berjaya dipadamkan hari ini.
Ujarnya, kebakaran yang bermula Jumaat lalu itu melibatkan kawasan yang mempunyai tanaman kelapa sawit dan kawasan tapak untuk ditanam pokok nanas.- MalaysiaGazette
















