Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan penganjuran Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo hari ini berikutan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, polis menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu berhubung hasrat mengadakan perhimpunan aman di lokasi berkenaan pada 7 Februari bermula jam 8 malam.

“Susulan pemakluman itu, pihak polis telah menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak terlibat termasuk pemilik premis perniagaan di sekitar lokasi perhimpunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Dang Wangi turut mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur pada 5 Februari lalu bagi membincangkan perancangan himpunan tersebut.

Tambahnya, pada 6 Februari, polis menerima beberapa surat bantahan daripada pemilik Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harisons serta beberapa premis perniagaan lain di kawasan berkenaan.

“Bantahan tersebut dibuat atas kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang akan mengunjungi premis-premis perniagaan di sekitar lokasi himpunan,” katanya.

Fadil berkata, maklumat risikan turut mendapati terdapat kemungkinan berlakunya gangguan ketenteraman awam serta ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat sekiranya perhimpunan itu diteruskan.

“Risiko tersebut dijangka lebih tinggi memandangkan kawasan berkenaan dijangka dipenuhi orang ramai yang datang membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil pertimbangan menyeluruh serta risikan keselamatan yang dijalankan mendapati perhimpunan itu berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam.

“Sehubungan itu, pihak polis membuat keputusan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan ini,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menghadirkan diri ke lokasi perhimpunan berkenaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau menggugat keselamatan awam,” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan satu himpunan aman dirancang di ibu negara bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa di seluruh negara.

Himpunan tersebut dianjurkan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) dengan penyertaan 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dijadualkan berlangsung bermula jam 8 malam di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast