Keadaan kren yang menghempap seorang warga Bangladesh hingga maut dalam kejadian di Jalan Perak, di sini, malam tadi Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang warga Bangladesh maut selepas dihempap kren jenis spider lift yang dikendalikannya ketika  menjalankan kerja pembaikan papan tanda bangunan di Jalan Perak di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang turut melibatkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 10.40 malam.

Siasatan awal mendapati, kren berkenaan dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh sebelum dipercayai terlanggar tebing kaki lima menyebabkan ia hilang imbangan dan terbalik di bahu jalan.

“Kren yang terbalik itu kemudiannya menghempap pengendali kren berusia 32 tahun serta dua buah kenderaan berhampiran iaitu sebuah Proton Persona dan sebuah BMW 523i.

“Salah sebuah kenderaan tersebut mempunyai pemandu dan penumpang di dalamnya manakala sebuah lagi hanya dipandu oleh pemandu.

“Bagaimanapun, semua individu di dalam kedua-dua kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, pengendali kren lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren serta kontraktor terlibat, selain menyemak permit kebenaran kerja yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga sedang diperoleh bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu beliau berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast