SUBANG JAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mencampuri pergolakan dalaman dan perebutan kuasa yang membadai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak berminat untuk menjaga figura seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Hamzah Zainudin yang nasibnya bagaikan telur di hujung tanduk.
“Saya tidak mahu campur dalam hal ehwal parti lain, jadi biarlah mereka selesaikan dan kita jaga kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyempurnakan Pelancaran Mega Raya di pasaraya Mydin.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.
Jumaat lalu, Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah menggesa Hamzah berundur daripada jawatan timbalan presiden atau dikenakan tindakan disiplin tegas kerana didakwa menjadi punca utama kemelut dalaman parti itu.
Rafiq berkata, beberapa laporan terhadap Hamzah telah dikemukakan oleh ahli parti kepada Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan penglibatan dalam gerakan terancang untuk melemahkan presidennya, Muhyiddin.
Ketua Pembangkang itu dijadualkan memberi keterangan pada Khamis ini, jam 12 tengah hari di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua, ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 6 Februari, empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu. – MalaysiaGazette
















