Beberapa jurugambar jalanan dikompaun dalam satu operasi bersepadu oleh KL Strike Force kerana menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran pihak berkuasa ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di KLCC. Foto AIZAT ZAINAL, 21 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lai Chen Heng menggesa tindakan penguatkuasaan terhadap jurugambar tanpa lesen perlu disertai dengan sistem kawal selia yang lebih tersusun bagi menyelesaikan masalah secara menyeluruh.

Menurut beliau, penguatkuasaan semata-mata hanya memberi kesan sementara jika tidak disokong dengan dasar dan garis panduan yang jelas.

“Penguatkuasaan memang penting, tetapi tanpa sistem pelesenan dan peraturan yang telus, isu ini akan terus berulang,” katanya dalam kenyataan.

Lai Chen Heng

Chen Heng berkata, kawasan ikonik seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bukan sekadar pusat komersial, sebaliknya mencerminkan imej ibu negara dan persepsi awal pelancong terhadap Malaysia.

“Pengurusan di kawasan ini menunjukkan tahap profesionalisme bandar raya. Jika tidak teratur, ia akan menjejaskan reputasi negara,” ujarnya.

Beliau turut menerima aduan mengenai caj perkhidmatan fotografi yang didakwa tidak munasabah serta tidak dimaklumkan secara telus kepada pelanggan.

“Ada pelancong hanya mengetahui bayaran selepas sesi bergambar selesai. Keadaan ini memberi pengalaman negatif kepada pelawat.

“Ada pula aduan segelintir jurugambar itu menguasai lokasi tertentu dan menghalang orang lain daripada menggunakan ruang awam.

“Tindakan memonopoli ruang awam tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip kepentingan bersama,” tegasnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila terdapat jurugambar yang mengarahkan pelanggan berdiri berhampiran laluan trafik demi mendapatkan sudut gambar tertentu.

“Ini mendedahkan orang ramai kepada risiko kemalangan dan boleh mencemarkan imej negara jika berlaku insiden,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata fenomena penguasaan tidak rasmi ruang awam mencerminkan kelemahan dalam pengurusan bandar.

“Apabila peraturan kabur, ruang kelabu akan wujud dan penyalahgunaan akan berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menilai semula model pengurusan aktiviti komersial di kawasan pelancongan.

Antara cadangan beliau termasuk memperkenalkan sistem pelesenan profesional, penetapan harga yang telus, zon fotografi yang jelas serta saluran aduan yang responsif.

“Kuala Lumpur mesti menunjukkan kepimpinan bandar yang lebih tersusun, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi mempertahankan imej dan maruah negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast