KUALA LUMPUR – Pas Sabah menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak bazar Ramadan.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, ia sesuai dengan status bazar Ramadan yang bukan sekadar ruang ekonomi, tetapi juga medan menghidupkan syiar Islam.
Menurutnya, dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan orang ramai membeli juadah berbuka, kewajipan solat tidak boleh diketepikan.
Jelasnya, kemudahan surau yang berdekatan akan membantu peniaga dan pengunjung menunaikan perintah Allah SWT dengan mudah, teratur dan selesa.
“Dengan adanya ruang solat, mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa meninggalkan tapak bazar atau berkejar mencari masjid dan surau yang jauh.
“Apabila urusan ibadah dipermudahkan, peniaga juga dapat menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa. Insya-Allah, rezeki yang diperoleh akan menjadi lebih berkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berharap, semua pihak termasuk penganjur dan agensi berkaitan, dapat memberi perhatian serius terhadap perkara itu supaya bazar Ramadan bukan sahaja meriah, malah dipenuhi nilai takwa serta menjadi contoh pengurusan yang mesra ibadah.
“Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















