Brenton Tarrant . foto AFP

WELLINGTON – Lelaki kulit putih yang menembak mati 51 orang di dua buah masjid di New Zealand pada tahun 2019 telah memfailkan rayuan pada Isnin bagi membatalkan sabitannya.

Brenton Tarrant, warga Australia dan bekas jurulatih gim, telah mengaku melakukan serangan tembakan berdarah dalam sejarah moden New Zealand sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Ogos 2020.

Kini, pembunuh yang telah disabitkan kesalahan itu berhujah, keadaan tahanan yang disifatkannya sebagai “menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan” sepanjang perbicaraan telah menyebabkan beliau tidak mampu membuat keputusan secara rasional ketika mengaku bersalah, menurut ringkasan kes oleh mahkamah.

Sekiranya Mahkamah Rayuan di Wellington mengekalkan sabitannya, satu perbicaraan berasingan akan diadakan lewat tahun ini bagi mempertimbangkan rayuan terhadap hukumannya.

Hukuman penjara seumur hidup tanpa parol yang dikenakan ke atasnya merupakan hukuman paling berat dalam sejarah New Zealand.

Tarrant memfailkan rayuan tersebut selepas tempoh masa yang ditetapkan, justeru memerlukan kebenaran mahkamah untuk rayuan itu diteruskan.

Bersenjatakan pelbagai senjata separa automatik, Tarrant menyerang jemaah di dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019.

Beliau menerbitkan sebuah manifesto dalam talian sebelum serangan itu dan kemudian menyiarkan pembunuhan berkenaan secara langsung selama 17 minit.

Semua mangsa adalah beragama Islam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Selepas siaran langsung Tarrant, Facebook memaklumkan, pihaknya telah membuang video ngeri yang ditonton seramai 1.5 juta dalam tempoh 24 jam daripada tersebar secara meluas.

Pada 2021, bekas peguam Tarrant, Tony Ellis berkata, anak guamnya percaya bahawa “cara paling mudah untuk keluar daripada situasi tersebut adalah dengan mengaku bersalah”, sambil berhujah pengakuan itu dibuat di bawah tekanan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast