KUALA LUMPUR – Kebakaran sebuah unit kondominium di Bangi pada malam Sabtu lepas disahkan berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang disimpan tanpa lesen oleh penyewa rumah berkenaan sekaligus menyebabkan keseluruhan unit tersebut musnah terbakar.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian semalam kira-kira pukul 10.50 malam.

Menurut beliau, Pasukan Bomba dan Penyelamat Bangi bersama anggota Balai Polis Bangi telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat dan kebakaran berjaya dikawal tidak lama kemudian.
“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang dibeli dan disimpan untuk tujuan jualan tanpa sebarang lesen dan permit oleh penyewa unit berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan.
VIDEO BERKAITAN:
Susulan kejadian itu, polis hari ini telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai peniaga kira-kira pukul 12.17 tengahari tadi di sekitar Bangi bagi membantu siasatan.
“Suspek akan dibawa ke hadapan majistret untuk permohonan reman,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, satu laporan kebakaran turut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ravin Ragayan di talian 012-626 9250 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi syarat lesen dan permit dalam mengendalikan sebarang bahan letupan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Gara-gara simpan mercun dalam rumah, sebuah apartmen Residensi Adelia terbakar
















