Iseigur Malaysia Global Trading Sdn Bhd, David Tan dan Pengerusi Iseigur Cup Ultimate Pickleball Battle 2026, TK Hong bersama yang lain merasmikan Pertandingan Pickleball Piala Iseigur 2026 di Dink Arena, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

SUBANG JAYA – Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) bakal menganjurkan Piala Iseigur 2026 Ultimate Pickleball Battle di Dink Arena @ Avenue 25, USJ di sini pada 25 dan 26 April ini.

Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, kejohanan julung kali itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 dengan penyertaan kira-kira 900 peserta.

“Kejohanan itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform menggabungkan promosi sukan, pembabitan belia dan tanggungjawab sosial.

“Piala Iseigur bukan sekadar pertandingan sukan. Ia platform jangka panjang untuk menggalakkan penyertaan komuniti, memupuk gaya hidup sihat dan aktif serta menyelitkan elemen kebajikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Pertandingan Pickleball Piala Iseigur 2026 di Dink Arena, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

Khairul Rizam berkata, kejohanan ini terbahagi kepada enam kategori iaitu Beregu Campuran, Beregu Lelaki, Beregu Kanak-kanak 7-12 tahun, Beregu Campuran Pertengahan, Beregu Lelaki Pertengahan dan Beregu Wanita.

“Setiap penyertaan pasukan akan dikenakan bayaran yuran berjumlah RM300 dan slot kejohanan adalah terhad sehingga 900 peserta,” katanya.

Gelagat Iseigur Malaysia Global Trading Sdn Bhd, David Tan bermain Pickleball pada Majlis Perasmian Pertandingan Pickleball Piala Iseigur 2026 di Dink Arena, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

Khairul Rizam juga berkata, pemilihan sukan Pickleball sebagai acara kejohanan kali ini bukan semata-mata kerana hadiah lumayan, sebaliknya untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda.

“Kita memilih lokasi ini (Dink Arena) kerana ia mempunyai 19 gelanggang pickleball, sesuai untuk dua hari kejohanan ini dan boleh memuatkan 900 peserta.

“Walaupun lokasi di Selangor, ia merupakan satu penganjuran julung kali MBWP dengan inisiatif Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) serta sokongan penganjur,” katanya.

Gelagat rakan-rakan penganjur bermain Pickleball pada Majlis Perasmian Pertandingan Pickleball Piala Iseigur 2026 di Dink Arena, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

Selain itu, memandangkan pickleball adalah sukan pantas, kemahiran tinggi dan menyeronokkan dengan peraturan mudah, penyertaan kejohanan ini terbuka kepada semua peringkat umur.

“Populariti sukan pickleball sedang berkembang pesat di seluruh dunia dan kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

“Kejohanan Piala Iseigur Ultimate Pickleball Battle 2026 dilihat sebagai langkah penting mempopularkan sukan itu di Malaysia, sambil memperkukuh perpaduan sosial dan membina komuniti yang lebih erat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast