Asia Voices of Courage menyasarkan untuk membangunkan sebuah platform serantau bagi penceramah di seluruh Asia menerusi pelan hala tuju tiga tahun yang akan bermula pada 2027.

KUALA LUMPUR – Asia Voices of Courage menyasarkan penganjuran persidangannya yang julung kali diadakan itu akan menembusi negara ASEAN dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengasas Bersamanya, Dr Stanley Yap berkata, Malaysia dan Singapura telah dikenal pasti sebagai antara pasaran awal yang penting sebelum hubungan dengan beberapa negara ASEAN yang terpilih akan diperluaskan.

Menurutnya, persidangan itu akan memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian ASEAN serta peluang penceramah untuk merentasi sempadan di negara berpotensi antaranya Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

“Fasa ketiga pada 2029 pula menyaksikan tumpuan diberikan kepada usaha mengukuhkan rangkaian dan meletakkan Asia Voices of Courage sebagai platform serantau yang diiktiraf dalam bidang komunikasi dan pembangunan penceramah.

“Platform itu juga berpotensi meneroka pasaran Asia yang lebih luas bergantung kepada perkembangan rangkaiannya di mana inisiatif itu dirangka bagi mewujudkan ekosistem sepanjang tahun.

“Ia yang bukan sahaja memberi latihan kepada penceramah malah menyediakan ruang untuk mereka berlatih, membina keyakinan, mendapat pengalaman di pentas sebenar serta mengembangkan rangkaian merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Asia Voices of Courage diasaskan oleh Dr Stanley Yap, Dr Nik Chong dan Sebastian Chen dengan matlamat untuk bergerak melangkaui konsep acara penceramah tahunan.

Persidangan Voices of Courage pertama kali dianjurkan di ibu negara baru-baru ini yang dilihat sebagai titik permulaan kepada gerakan lebih besar dalam pembangunan bakat komunikasi dan kepimpinan di rantau Asia.

Ia diasaskan bersama Dr Nik Chong dan Sebastian Chen dengan matlamat untuk bergerak melangkaui konsep acara penceramah tahunan untuk membangunkan sebuah platform serantau bagi penceramah di seluruh Asia.

Mengulas lanjut, Yap berkata, pihaknya mahu mewujudkan peluang kepada penceramah merentas negara iaitu inisiatif yang membolehkan penceramah dan komuniti dari negara berbeza bertukar pengalaman serta mendapat akses kepada rangkaian baharu.

Menerusi konsep itu, katanya, penceramah Malaysia berpotensi mendapat peluang tampil di Singapura atau Indonesia, manakala penceramah dari negara jiran pula boleh memperoleh pendedahan kepada khalayak dan rangkaian di Malaysia.

“Kerjasama sebegini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada penceramah baharu untuk membina pengalaman di luar negara, selain memperkukuh hubungan antara komuniti komunikasi di rantau ini.

“Kami percaya ASEAN dan Asia memiliki ramai penceramah berbakat kepakaran untuk dikongsikan, namun apa yang diperlukan ialah lebih banyak platform bagi memastikan suara tersebut dapat dibangunkan dan didengari.

“Dengan visi “Keberanian Untuk Bersuara. Kuasa Untuk Memimpin. Kepimpinan Untuk Mengubah Asia”, Asia Voices of Courage kini mengalu-alukan penyertaan penceramah, sekolah komunikasi, kelab pidato dan komuniti profesional serta calon dari seluruh Asia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here