Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

KUALA LUMPUR- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda juga bertitah bahawa jumlah kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor adalah terlalu banyak, malah lebih tinggi berbanding populasi masyarakat India beragama Hindu di negeri itu.

Ini selepas baginda disembah maklum oleh kerajaan negeri berhubung statistik pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di Selangor adalah sebanyak 687 buah sehingga 31 Januari 2026.

Ia membabitkan 388 kuil yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 kuil dibina atas tanah milik persendirian, sedangkan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor adalah sekitar 11.3 peratus sahaja.

Jumlah tersebut tidak mengambil kira kuil-kuil yang didirikan secara sah di Selangor.

Mohad Munir berkata, baginda juga mengingatkan pihak berkuasa agar sentiasa memantau pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian supaya dapat dibanteras dan dikawal.

“Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip tolerasi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, baginda Sultan Selangor menyokong kenyataan tegas Perdana Menteri pada 7 Februari lalu tidak bersetuju dengan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, baginda mahu setiap pembangunan dijalankan adalah mengikut undang2 yang berkuatkuasa dan tadbir urus yang baik.

“Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Selangor tangani isu rumah ibadat tak sah ikut undang-undang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast