KULAI – Seorang penunggang maut selepas terjatuh atas jalan sebelum digilis sebuah treler di Kilometer 34.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha dan treler jenis Volvo yang berlaku pukul 9.05 malam.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun menunggang dari arah Johor Bahru ke Batu Pahat.
“Penunggang terbabit terjatuh atas jalan raya dan kemudian digilis sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut motosikal mangsa terbakar dan bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut.
Penunggang berkenaan, katanya, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir untuk memberikan rawatan.
Mayat mangsa diserahkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















