KUALA LUMPUR – Desakan dari dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat semakin meluas apabila Sayap Bersekutu parti itu turut menuntut tindakan serupa diambil terhadap Timbalan Presiden berkenaan.
Desakan itu disuarakan menerusi satu memorandum kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang ditandatangani seramai 16 pemimpin Sayap Bersekutu Pusat dan negeri.
Menerusi memorandum itu, mereka mendakwa Hamzah melakukan atau membiarkan salah laku antaranya dengan gagal menghalang gerakan akuan berkanun (SD) oleh penyokong-penyokongnya yang mencetuskan ketidakstabilan politik, kekeliruan dalaman dan melemahkan autoriti Presiden serta MPT.
Selain itu, mereka mendakwa penglibatan Hamzah dalam rundingan dan hubungan dengan pihak luar parti tanpa mandat iaitu tindakan ultra vires yang mencabuli tatakelola dan kedaulatan keputusan parti.
Mereka turut mendakwa Hamzah bersekongkol dengan pihak-pihak yang mendesak Presiden meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Pemangku Presiden, termasuk penyebaran tuduhan tidak berasas yang mencemarkan institusi Presiden.
Selain itu, mereka juga mendakwa Hamzah membuat kenyataan awam tanpa mandat berhubung isu pra-council Perikatan Nasional (PN) yang telah menjejaskan imej parti, melemahkan Institusi Presiden dan mencetuskan kekeliruan awam.
“Sehubungan itu, kami dengan ini menuntut Lembaga Disiplin (LD) parti menjalankan prosiding disiplin penuh dan menjatuhkan hukuman pemecatan keahlian terhadap Hamzah atas salah laku disiplin berat dan pelanggaran amanah perlembagaan.
“Kami juga menuntut MPT melaksanakan kuasa perlembagaan untuk menyingkirkan beliau serta-merta daripada jawatan Timbalan Presiden, tanpa kompromi atau penangguhan,” demikian menurut memorandum itu yang dilihat MalaysiaGazette hari ini.
Hamzah ketika ini terus menerima tekanan supaya meletakkan jawatan termasuk daripada Bersatu di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Perak, Sarawak dan Johor.
Difahamkan, Hamzah juga dipanggil menghadap LD parti esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tahun lalu, dan dakwaan kritikan terhadap Muhyiddin.
Bagaimanapun difahamkan, Hamzah tidak akan menghadiri sesi itu esok memandangkan sedang berada di Sydney, Australia atas urusan berkaitan pengajian anaknya. – MalaysiaGazette
















