Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berpandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu meletakkan jawatan susulan dakwaan berkait pemilikan sahamnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, ia selepas sebuah portal hari ini mendakwa Azam mempunyai pegangan saham dalam sebuah lagi syarikat yang sekali lagi mungkin tidak mematuhi peraturan yang mengehadkan jumlah saham yang boleh dimiliki oleh seorang penjawat awam dalam satu entiti.

Menurutnya, sebagai individu yang mengetuai institusi terpenting dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, sebarang persoalan berkaitan pematuhan kepada peraturan perkhidmatan awam, had pemilikan saham, serta potensi konflik kepentingan tidak boleh dipandang ringan.

Ujar beliau, SPRM adalah institusi yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat dan integriti kepimpinannya mesti berada pada tahap tertinggi bukan sahaja bebas daripada salah laku, tetapi juga bebas daripada sebarang persepsi meragukan.

“Sekiranya benar terdapat pemilikan saham yang melebihi had yang ditetapkan bagi penjawat awam, atau wujud ketidakpatuhan kepada garis panduan perkhidmatan, saya menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk meletakkan jawatan.

“Ini demi memelihara kredibiliti SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Mas Ermieyati, Malaysia memerlukan SPRM yang bukan sahaja tegas, tetapi juga bersih tanpa sebarang keraguan dengan kepercayaan rakyat adalah asas kepada kekuatan institusi.

Media sebelum ini melaporkan berkenaan pendedahan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Menurut laporan Bloomberg itu, pemilikan saham berkenaan adalah berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan semasa.

Bagaimanapun, Azam seperti dilaporkan media menjelaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Menurut Azam, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya.

“Saya sudah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini, termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya memetik laporan media tempatan semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast