KUALA LUMPUR – Cadangan seorang Ahli Parlimen kerajaan untuk memasukkan tokoh komunis serta naratif perjuangan era reformasi politik tertentu ke dalam modul pembelajaran sejarah di sekolah menengah perlu dibantah sekeras-kerasnya kerana ia tidak sensitif, berbahaya dan mencabar asas pembinaan negara bangsa.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor berkata, komunisme merupakan ideologi yang diharamkan dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru katanya, sebarang usaha mengangkat tokoh komunis sebagai sebahagian daripada naratif perjuangan negara adalah tidak wajar.
“Ribuan anggota keselamatan dan rakyat telah terkorban akibat ancaman komunis ketika mempertahankan kedaulatan negara serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
“Sepatutnya Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan agar sejarah komunisme diajar dalam konteks mereka sebagai ancaman kepada negara dan bukannya diangkat sebagai tokoh setaraf pejuang kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu beliau menegaskan, memasukkan naratif perjuangan politik individu yang masih hidup atau mempunyai kaitan langsung dengan kepimpinan semasa merupakan satu bentuk penyalahgunaan sistem pendidikan serta cubaan membentuk persepsi politik generasi muda.
Tambah beliau, pelajar sekolah seharusnya diperkukuhkan dengan kefahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara, bukannya dibebankan dengan polemik politik semasa.
Sehubungan itu katanya, Perkasa mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya segera menolak cadangan berkenaan secara rasmi dan menghentikan sebarang usaha mempolitikkan sistem pendidikan negara.
“Sejarah Malaysia dibina atas darah dan pengorbanan dalam menentang komunis serta mempertahankan kedaulatan tanah air. Jangan sesekali cuba menulis semula sejarah demi memenuhi kepentingan politik semasa,” tegasnya.
Semalam, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mencadangkan supaya topik ‘Politik Moden’ merangkumi peristiwa penting seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998 sehingga munculnya gerakan reformasi dimasukkan dalam silibus mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat dengan berkata, selain sejarah berkaitan kemerdekaan negara, politik moden juga perlu didedahkan kepada generasi baharu.
Justeru, beliau mencadangkan beberapa topik signifikan dengan landskap politik tanah air untuk dimasukkan dalam silibus baharu mata pelajaran Sejarah di sekolah. – MalaysiaGazette
















