Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan tindakan penahanan seorang aktivis masyarakat berhubung isu perobohan kuil, sambil menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh diketepikan dalam menangani kontroversi pembinaan rumah ibadat

Beliau berkata, penahanan tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan serta kesaksamaan penguatkuasaan undang-undang, terutama apabila isu pokok berkaitan status tanah dan pematuhan peraturan masih belum diperjelaskan.

“Saya mengambil maklum berkenaan penahanan seorang aktivis masyarakat, Tamim Dahri dan sahabat-sahabatnya yang telah ditahan pihak berkuasa berhubung isu perobohan sebuah kuil baru-baru ini.

“Pada hemat saya, tindakan penahanan ini menimbulkan persoalan besar tentang keadilan dan kesaksamaan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan perintah reman dua hari terhadap Tamim bersama tiga rakannya dan mengarahkan mereka dibebaskan serta-merta selepas membenarkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang.

Mahkamah Majistret sebelum itu membenarkan reman bagi membantu siasatan berhubung kerja pembersihan tanah selepas perobohan kuil di Taman Rawang Perdana, dengan mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 dan Seksyen 295.

Wan Fayhsal menegaskan tumpuan tidak sepatutnya dialihkan kepada individu semata-mata, sebaliknya isu pelanggaran status tanah, kelulusan pembinaan dan peraturan tempatan perlu ditangani melalui saluran sah.

“Isu yang sebenar perlu dilihat secara menyeluruh. Jika wujud pelanggaran dari segi status tanah, kelulusan pembinaan atau peraturan pihak berkuasa tempatan, maka perkara itu sepatutnya ditangani melalui saluran pentadbiran dan undang-undang yang jelas serta tertakluk kepada perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menyasarkan aktivis tanpa menyelesaikan punca masalah hanya akan menjejaskan persepsi rakyat terhadap integriti sistem penguatkuasaan.

“Saya percaya aktivis tersebut bertindak atas dasar mempertahankan prinsip undang-undang dan hak masyarakat setempat. Menjadikan beliau sebagai sasaran tanpa menyelesaikan isu pokok hanya akan memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap integriti sistem sedia ada,” katanya.

Wan Fayhsal turut mengingatkan suara rakyat tidak boleh disekat dalam negara demokrasi serta menggesa pertikaian diselesaikan melalui proses kehakiman yang telus dan adil.

“Saya menyeru pihak berkuasa agar memastikan proses siasatan dan tindakan lanjut dijalankan secara profesional, tanpa prejudis dan tanpa layanan terpilih. Keadilan mesti dilihat ditegakkan bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast