KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa supaya siasatan dijalankan segera bagi menentukan kebenaran berhubung dakwaan yang dibuat menerusi video `Mafia Korporat’ yang mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, beliau turut menonton video itu dan menyifatkannya amat menjejaskan imej kerajaan dan SPRM.
Kata beliau, sekiranya dakwaan menerusi video itu benar, maka pembersihan total terhadap SPRM perlu dilakukan.
“Sebaliknya jika ia cerita palsu, ambil tindakan undang-undang.
“Amat merunsingkan jika ia benar. Takut ia sudah berakar umbi dan sukar untuk dipulihkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, tiada gunanya SPRM dilihat tegas sehingga berjaya mendakwa dan menahan pegawai tertinggi tentera serta pemimpin politik sekiranya terdapat `mafia’ dalam agensi terbabit.
Sehubungan itu, tegasnya, rakyat perlu diberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.
“Isunya reform terhadap SPRM. Siapa polis terhadap SPRM?
“Jawatankuasa aduan SPRM macam tidak ada kuasa menyiasat salah laku jenayah pegawai SPRM.
“Perlu ada satu unit khas di mana orang ramai boleh membuat aduan terhadap salah laku pegawai SPRM,” katanya.
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi video di laman sosial Facebooknya menyorot berkenaan pendedahan eksklusif sebuah media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi oleh beberapa individu yang terpalit dengan pelbagai tuduhan jenayah.
Dakwanya, ia termasuklah tuduhan menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk mencuci duit hasil dari aktiviti jenayah dengan menggunakan modus operandi yang licik dan rumit. – MalaysiaGazette
















