Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibarkan bendera parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 6 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR — Seramai 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat gesaan terbuka supaya presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan, menandakan tekanan dalaman parti semakin memuncak.

Kumpulan ini memberi sokongan terhadap kenyataan Ketua Whip Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berhubung keperluan peralihan kepimpinan tertinggi Bersatu.

“Kami menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mendesak supaya Muhyiddin segera meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu,” menurut kenyataan bersama itu.

Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Kangar (Zikri Hassan), Kubang Pasu (Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail), Kulim-Bandar Baharu (Roslan Hashim), Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor) dan Tanah Merah (Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz).

Antara lain adalah Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal), Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid), Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Gerik (Fathul Huzir Ayob), Padang Rengas (Azahari Hassan), Lumut (Nordin Ahmad Ismail), Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah), Rompin (Datuk Abdul Khalib Abdullah), Sabak Bernam (Kalam Salan), Sungai Besar (Datuk Muslimin Yahaya) dan Mersing (Islahuddin Abas).

Kumpulan itu menegaskan, walaupun menghargai sumbangan Muhyiddin sebelum ini, keadaan semasa menuntut perubahan segera demi memastikan kelangsungan politik dan hala tuju parti.

“Tanpa menafikan jasa dan sumbangan YB Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, hakikatnya beliau sudah tidak lagi mampu menyatukan parti dan memimpin ke arah kemenangan,” kata kenyataan berkenaan.

Mereka turut menyatakan keyakinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin mampu memainkan peranan lebih berkesan sebagai pemangku presiden bagi memulihkan kekuatan dalaman parti.

“Kami yakin Hamzah mampu menjadi Pemangku Presiden yang baik, mengembalikan agenda Bersatu kepada perjuangan rakyat dan negara, serta menyatukan parti demi memastikan kemenangan,” menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast