KUALA LUMPUR – Satu kontena mengandungi buah pinang yang cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah disita, semalam,
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kontena berkenaan dikesan di Pusat Pemeriksaan Kontena CT 1 dan sitaan dilakukan jam 10.30 pagi.
“Hasilan pertanian jenis betel nuts itu diimport dari Indonesia dan rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM51,662.52 dengan anggaran sebanyak 40,200 kilogram (kg).
“Sitaan dibuat sebagai langkah pencegahan bagi mengawal risiko biosekuriti kepada tumbuhan lain serta memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa mengikut syarat permit Maqis. – MalaysiaGazette
















