KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, kepelbagaian budaya di dalam organisasi kerajaan adalah kekuatan utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, acara seperti Majlis Sentuhan Kasih Muhibah Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang dianjurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini adalah cerminan tekad kakitangan kementerian itu dalam meraikan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.
“Di KPKT, setiap perayaan disambut dengan semangat kebersamaan demi menjalinkan silaturahim yang lebih erat serta memperkukuh semangat persaudaraan sesama warga kerja tanpa mengira latar belakang.
“Melangkah ke Tahun Kuda ini, ia membawa simbolik keberanian dan kegagahan yang amat signifikan. Saya menyeru agar semangat ini diterjemahkan melalui simbolik tekun bekerja dan dedikasi tinggi dalam melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan ringkas di majlis tersebut.
Sebagai tanda penghargaan dan simbol kemakmuran, Kor Ming turut mengagihkan 500 kotak limau mandarin kepada seluruh warga kementerian.
Agihan tersebut membawa harapan agar semangat tahun baharu ini menyuntik keceriaan serta mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kerja dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
Majlis berlangsung yang penuh meriah di Pekarangan KPKT yang menjadi simbolik kepada semangat perpaduan, keharmonian, dan kepelbagaian budaya yang menjadi teras kekuatan negara dihadiri warga KPKT yang terdiri daripada pelbagai kaum. -MalaysiaGazette















