KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” demikian hantaran ringkas bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Facebooknya, hari ini.
Meskipun kapsyen tersebut terlalu ringkas, tiada sebarang perincian mahu pun penjelasan lanjut berhubung pemecatan beliau, hantaran itu telah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik dan juga warga net.
Ini kerana Ketua Pembangkang itu turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan beliau sedang duduk semeja dengan pemimpin-pemimpin Pas seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut kelihatan di dalam gambar berkenaan adalah beberapa bekas pemimpin Bersatu yang telah dipecat sebelum ini seperti Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Turut hadir, Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Jalan terus.” “Alhamdulillah.” “Teruskan perjuangan,” antara komen yang dicoretkan netizen pada hantaran tersebut.
Namun tidak kurang juga yang menganggap, gambar pertemuan tersebut hanyalah wayang politik.
Terdahulu, Lembaga Disiplin (LD) Bersatu yang bersidang semalam tanpa kehadiran Hamzah yang dikatakan berada di luar negara, memutuskan keahlian beliau dipecat serta-merta.
Ia berdasarkan notis pemecatan oleh Pengerusi LD Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan hari ini yang dilihat MalaysiaGazette.
Berdasarkan notis itu, LD Bersatu memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan (hari ini) kerana tindakan beliau yang melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu bersama 16 lagi ahli Bersatu yang dipecat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis tersebut. -MalaysiaGazette
















