PARIS – Selepas kejadian pecah masuk dan mogok, satu lagi kes penipuan tiket serta kebocoran air berlaku pada Jumaat, menambah masalah baharu di Muzium Louvre, Perancis.
Pasukan bomba terpaksa dipanggil pada waktu malam selepas sebuah paip pecah di sayap Denon, yang menempatkan lukisan Mona Lisa dan pameran lain yang tidak ternilai harganya, menurut satu kenyataan.
Walaupun ruang yang menempatkan karya agung Leonardo da Vinci itu tidak terjejas, sebuah bilik pameran karya seni Itali abad ke-15 serta siling hiasannya yang dilukis oleh artis Perancis, Charles Meynier, mengalami kerosakan.
“Karya seni pada siling menunjukkan dua rekahan pada kawasan yang sama akibat air, selain pengelupasan lapisan cat pada siling dan lengkungannya,” menurut kenyataan Louvre.
Kerosakan itu berpunca daripada paip sistem pemanasan yang terletak di atas bilik berkenaan, tambah kenyataan itu.
Kebocoran tersebut menambah senarai masalah struktur dan penyelenggaraan yang semakin meningkat di muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu, yang sebelum ini dikejutkan dengan kejadian rompakan yang memalukan pada Oktober lalu.
Pada November, satu kebocoran air telah merosakkan beberapa ratus karya seni di Jabatan Mesir Louvre.
Manakala sebuah galeri yang menempatkan seramik Yunani purba ditutup pada Oktober selepas rasuk silingnya didapati berisiko runtuh.
Ketua arkitek Louvre, Francois Chatillon, mengakui kepada penggubal undang-undang pada November bahawa bangunan itu “tidak berada dalam keadaan yang baik”.
Dalam pada itu, pendakwa raya Perancis pada Jumaat mendakwa sembilan individu berhubung penipuan tiket yang dipercayai menyebabkan muzium itu mengalami kerugian sehingga 10 juta euro (AS$11.9 juta), menurut sumber perundangan.
Siasatan mendapati pemandu pelancong yang bekerja dengan pelancong dari China menggunakan semula tiket untuk masuk beberapa kali, selain merasuah kakitangan keselamatan bagi mendapatkan kerjasama mereka.
Sembilan individu didakwa pada Jumaat selepas secara rasmi dituduh atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, membantu warga asing memasuki negara bagi terlibat dalam aktiviti kumpulan jenayah, rasuah serta pengubahan wang haram, menurut sumber perundangan.
Polis merampas kira-kira satu juta euro wang tunai dan 486,000 euro daripada beberapa akaun bank yang dikaitkan dengan rangkaian tersebut.
Lambakan masalah ini meningkatkan tekanan terhadap Ketua Muzium Louvre, Laurence des Cars, yang sebelum ini berdepan desakan supaya meletakkan jawatan susulan rompakan pada 19 Oktober, apabila pencuri melarikan permata mahkota bernilai lebih AS$100 juta.
Dalam kejadian itu, dua penceroboh menggunakan platform yang dipasang pada sebuah lori untuk memasuki galeri berkenaan, memotong pintu kaca menggunakan pemotong cakera di hadapan pengunjung yang terkejut sebelum melarikan lapan barangan berharga.
Kakitangan yang tidak berpuas hati turut melancarkan gelombang mogok sejak awal tahun, menuntut penambahan kakitangan dan penambahbaikan gaji, sekali gus memaksa pengurusan menutup bekas istana diraja itu pada beberapa hari Isnin.
Muzium Louvre menerima sembilan juta pengunjung pada tahun lalu. – Agensi
















