Universiti Harvard. foto Facebook

 

WASHNGTON – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman terhadap Universiti Harvard pada hari Jumaat bagi menuntut data kemasukan pelajar, dalam tindakan terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump dalam pertikaian berpanjangan dengan universiti elit itu.

“Harvard gagal mendedahkan data yang kami perlukan untuk memastikan proses kemasukannya bebas daripada diskriminasi,” kata Peguam Negara, Pam Bondi, dalam satu kenyataan.

Dalam keputusan Mahkamah Agung pada 2023, pertimbangan faktor kaum dalam kemasukan ke kolej telah dilarang dan Jabatan Kehakiman di bawah Trump kini menyiasat sama ada mana-mana institusi pendidikan di Amerika Syarikat mendiskriminasi pemohon berkulit putih.

Jabatan Kehakiman berkata, saman tersebut “hanya bertujuan memaksa Harvard mengemukakan dokumen berkaitan sebarang pertimbangan kaum dalam proses kemasukan dan tidak menuduh Harvard melakukan diskriminasi kaum.”

“Jika Harvard telah berhenti mendiskriminasi, ia sepatutnya dengan rela hati berkongsi data yang diperlukan untuk membuktikannya,” kata Penolong Peguam Negara, Harmeet Dhillon.

Presiden Donald Trump, sebelum ini menuntut Harvard membayar ganti rugi sebanyak AS$1 bilion atas dakwaan gagal melindungi pelajar Yahudi dengan secukupnya semasa protes pro-Palestin.

“Kami kini menuntut ganti rugi sebanyak satu bilion dolar, dan tidak mahu lagi berurusan, pada masa hadapan, dengan Universiti Harvard,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Beberapa hari kemudian, Pentagon memutuskan semua hubungan akademik dengan Harvard.

Trump sebelum ini juga berusaha memotong lebih AS$2.6 bilion dana persekutuan kepada Harvard, selain mengambil langkah menghalang kemasukan pelajar antarabangsa yang merangkumi kira-kira satu perempat daripada jumlah pelajarnya.

Bagaimanapun, kebanyakan langkah tersebut setakat ini telah disekat sementara oleh mahkamah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast