KUALA LUMPUR – Walaupun Tan Sri Azam Baki sudah mengisytiharkan isu pemilikan saham yang menjadi kontroversi namun isu berkenaan masih belum reda.
Ia kerana, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, isunya bukan setakat isytihar sahaja.
Persoalannya, apakah pengisytiharan itu sudah mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara sebelum beli saham melebihi RM100,000.
“Walaupun PMX, Azam Baki, SPRM dan badan pemantau telah memberi penjelasan tetapi ia tidak meredakan komen netizen terhadap isu 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
“Apa yang membengongkan, dalam banyak kaunter saham di Bursa KL kenapa pilih Velocity Capital sebuah syarikat ah long berlesen? Benarkah Victor Chin & Farhash ada kaitan dengan syarikat tersebut?,” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Menerusi hantaran itu, Puad turut mendakwa Azam masih belum menjawab satu lagi persoalan.
“Satu lagi isu yang tidak dijawab ialah betulkah saham itu dibeli atau saham itu hanya dipindah milik pada akaun Azam Baki. Atau yang bayar adalah Velocity kerana kemudiannya saham tersebut akan dicagarkan kembali kepada Velocity? (kerana velocity adalah syarikat ah long berlesen),” tanya beliau lagi.
Oleh sebab itu, kata Puad, rakyat tidak mahu jawapan selektif tetapi menyeluruh dan telus. – MalaysiaGazette
















