Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR — Gagasan Rumah Besar Bangsa kini menjadi tumpuan kritikal bagi menyatukan orang Melayu, kata mantan Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Beliau menegaskan, Malaysia tidak lagi boleh terperangkap dalam politik perpecahan yang melemahkan bangsa dan negara.

“Apabila bangsa berpecah, negara akan lemah dari sudut politik, ekonomi dan keselamatan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muqharabbin, seorang pemimpin yang bertanggungjawab mesti meletakkan kepentingan rakyat dan perpaduan bangsa di atas kepentingan politik sempit dan peribadi.

“Mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini perlu dilihat sebagai tidak serius dalam memperjuangkan masa depan negara, malah berisiko melemahkan kekuatan politik orang Melayu sendiri,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhak dan wajar menyertai kerangka gagasan yang telah disokong oleh pemimpin Pas dan UMNO.

“Kerjasama ini bukan soal parti tetapi soal kelangsungan kestabilan politik negara, kekuatan ekonomi serta keamanan dan perpaduan rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Rumah Besar Bangsa ialah gagasan politik yang bertujuan menyatukan semua pihak Melayu di Malaysia di bawah satu platform demi kestabilan politik, ekonomi, dan keselamatan negara.

Ia bukan parti baharu tetapi satu kerjasama strategik antara tokoh Melayu termasuk Pas, UMNO dan bekas pemimpin Bersatu bagi memastikan suara dan kepentingan Melayu tidak terpecah dan terus kuat.

Muqharabbin menegaskan, mereka yang menolak gagasan ini sebenarnya menolak kepentingan bangsa sendiri.

“Golongan seperti ini tidak seharusnya diberi sokongan politik oleh rakyat khususnya orang Melayu yang mahukan kepimpinan tegas, perpaduan kukuh dan masa depan negara yang stabil,” katanya.

Beliau memberi amaran Malaysia kini memerlukan keberanian untuk bersatu dan menolak politik perpecahan yang merosakkan bangsa.

“Malaysia tidak memerlukan politik perpecahan. Malaysia memerlukan keberanian untuk perpaduan,” tegas Muqharabbin.

Gagasan ini, menurut beliau, bukan sekadar simbol tetapi platform strategik untuk memastikan rakyat Melayu bersatu, mengukuhkan ekonomi dan mengekalkan keamanan negara dalam jangka panjang.

“Kejayaan gagasan ‘Rumah Besar Bangsa’ memerlukan kerjasama semua pihak yang serius mahu memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan kestabilan Malaysia secara keseluruhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast