Mohd Hairi (tengah) menggaul yee sang dalam sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Tiong Hua Johor Baru, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah mendakwa konflik dan perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu karma selepas pengkhianatan yang dilakukan parti itu terhadap UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, pergolakan semasa dalam Bersatu adalah balasan dan cerminan daripada keputusan politik yang dibuat pada masa lalu.

“Sebenarnya saya tidak memikirkan masalah parti lain. Saya hanya fokus pada UMNO dan perpaduan Melayu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Tiong Hua Johor Baru di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Mohd Hairi, beliau mendoakan pemimpin yang meninggalkan Bersatu agar mereka menemui hala tuju jelas karier politik mereka selepas ini.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah memperkenalkan konsep Rumah Bangsa yang menawarkan keterbukaan parti untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu bumbung.

Menurutnya, konsep berkenaan membuka pintu dan kesediaan UMNO untuk bersama-sama pemimpin dan parti Melayu yang lain.

“Saya yakin bahawa keterbukaan UMNO sentiasa ada. Ruang dan peluang yang diberikan kepada semua parti Melayu boleh diambil dan dipertimbangkan supaya kita dapat bersatu di bawah Rumah Bangsa yang diilhamkan presiden parti,” katanya.

Beliau menambah, perpaduan adalah penting untuk mencegah perpecahan yang lebih teruk dalam kalangan orang Melayu.

“Kita tidak lagi mampu untuk berpecah. Kita mesti bersatu untuk kebaikan masyarakat Melayu,” katanya.

Mohd Hairi juga berkata, Pemuda UMNO juga terbuka untuk menerima bekas ahli daripada parti lain yang ingin menyertai parti tersebut.

“Dari perspektif saya, kami terbuka,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.

Apabila ditanya sama ada perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) terutama Bersatu menjadikannya masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum atau peringkat negeri, Mohd Hairi berkata, keputusan itu diputuskan pucuk pimpinan.

“Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid serta pemimpin parti lain yakin dengan kekuatan masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah di bawah pertimbangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri dan pemimpin negeri termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yakin pemimpin tertinggi berkenaan mempunyai ‘resepi’ mereka sendiri iaitu bila masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen atau DUN.

Katanya, sebarang langkah pembaran Parlimen atau DUN perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast