Gambar fail AFP

BAITULMAQDIS – Seorang imam kanan Masjid Al‑Aqsa di Baitulmaqdis Timur berkata, pihak berkuasa Israel telah menghalangnya daripada memasuki kompleks masjid, menjelang beberapa hari sebelum permulaan bulan Ramadan.

“Saya telah dihalang daripada masuk ke masjid selama seminggu, dan perintah ini boleh diperbaharui,” kata Sheikh Muhammad al‑Abbasi kepada AFP.

Katanya, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebab larangan itu, yang berkuat kuasa mulai hari Isnin.

“Saya baru kembali ke Al‑Aqsa sebulan lalu selepas menghabiskan setahun di hospital akibat kemalangan kereta serius.

“Larangan ini adalah perkara yang amat serius bagi kami, kerana jiwa kami terikat dengan Al‑Aqsa. Al‑Aqsa adalah hidup kami,” kata Abbasi.

Bulan Ramadan, adalah bulan umat Islam berpuasa dari subuh hingga maghrib, bermula minggu ini.

Sepanjang bulan suci ini, ratusan ribu rakyat Palestin secara tradisinya menunaikan solat di Al‑Aqsa — tapak ketiga paling suci dalam Islam yang terletak di Baitulmaqdis Timur, yang ditawan Israel pada 1967 dan kemudian diambil alih oleh tentera rejim zionis itu.

Pada Isnin, polis Israel berkata, mereka telah mencadangkan pengeluaran 10,000 permit untuk rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki, yang memerlukan kebenaran khas untuk memasuki Baitulmaqdis.

Polis tidak menyatakan sama ada sekatan umur akan dikenakan.

Bagaimanapun, Pentadbiran Baitulmaqdis Palestin berkata, mereka dimaklumkan permit akan sekali lagi terhad kepada lelaki berusia 55 tahun ke atas dan wanita berusia 50 tahun ke atas, selaras dengan kriteria tahun lalu.

Ia menambah, pihak berkuasa Israel telah menghalang Islamic Waqf, badan yang dikendalikan Jordan yang mentadbir tapak tersebut daripada menjalankan persiapan rutin, termasuk memasang struktur teduh dan menubuhkan klinik perubatan sementara.

Seorang sumber Waqf berkata, 33 pekerjanya telah dihalang daripada memasuki kompleks itu sepanjang minggu sebelum Ramadan.

Di bawah peraturan lama, orang Yahudi dibenarkan melawat kompleks Al‑Aqsa, yang mereka muliakan sebagai lokasi Kuil Pertama dan Kedua Yahudi tetapi tidak dibenarkan menunaikan solat di situ.

Israel berkata, ia komited untuk mengekalkan status quo ini, walaupun rakyat Palestin bimbang ia semakin terhakis.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai nasionalis Yahudi ekstrem telah mencabar larangan solat ini, termasuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben‑Gvir, yang menunaikan solat di tapak itu semasa berkhidmat sebagai Menteri Keselamatan Negara pada 2024 dan 2025. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast