Gambar fail AFP

BAITULMAQDIS – Israel hanya akan membenarkan seramai 10,000 jemaah Palestin menghadiri solat mingguan di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur sepanjang bulan Ramadan.

Pihak berkuasa Israel turut mengenakan sekatan kemasukan ke perkarangan masjid itu, dengan hanya membenarkan lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas, serta kanak-kanak sehingga usia 12 tahun untuk masuk.

“10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan memasuki Bukit Baitulmaqdis bagi solat Jumaat sepanjang bulan Ramadan, tertakluk kepada keperluan mendapatkan permit khas harian terlebih dahulu.

“Kemasukan bagi lelaki dibenarkan bermula umur 55 tahun, wanita dari umur 50 tahun, dan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun dan ditemani oleh ahli keluarga,” kata COGAT, agensi Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal awam Palestin di wilayah diduduki, dalam satu kenyataan.

Sepanjang Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin secara tradisinya menghadiri solat di Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam, yang terletak di Baitulmaqdis Timur.

Kawasan itu dirampas Israel pada tahun 1967 dan kemudiannya dianeksasi dalam satu tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Pejabat Gabenor Baitulmaqdis Palestin minggu ini berkata, pihak berkuasa Israel telah menghalang Wakaf Islam, sebuah badan yang diuruskan Jordan dan mentadbir tapak berkenaan daripada menjalankan persiapan rutin menjelang Ramadan, termasuk pemasangan struktur teduhan dan penubuhan klinik perubatan sementara.

Semalam, seorang imam kanan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad al-Abbasi memberitahu AFP beliau telah dilarang memasuki perkarangan masjid tersebut.

“Saya telah dilarang memasuki masjid selama seminggu, dan perintah itu boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata, Israel tidak memaklumkan larangan tersebut, yang mula berkuat kuasa pada 16 Februari.

Di bawah pengaturan yang telah lama wujud, penganut Yahudi dibenarkan melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa — yang mereka anggap sebagai tapak Kuil Yahudi pertama dan kedua namun mereka tidak dibenarkan berdoa di situ.

Israel menyatakan komitmennya untuk mengekalkan status quo ini, namun rakyat Palestin bimbang ia semakin terhakis.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai nasionalis ultra Yahudi mencabar larangan berdoa tersebut, termasuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben-Gvir, yang pernah berdoa di tapak itu ketika berkhidmat sebagai menteri keselamatan negara pada tahun 2024 dan 2025. – Agensi

Imam Al-Aqsa dakwa Israel halangnya masuk masjid menjelang Ramadan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast