Donald Trump . foto AFP photo AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Iran bahawa negara itu mesti mencapai perjanjian dalam tempoh 10 hingga 15 hari mengenai program nuklearnya atau “perkara yang sangat buruk” akan berlaku.

Trump berkata, rundingan dengan Iran bagi menamatkan kebuntuan tegang itu berjalan baik tetapi menuntut Tehran mencapai perjanjian yang lebih bermakna.

“Jika tidak, perkara buruk akan berlaku,” kata Trump, yang berulang kali mengugut untuk menyerang Iran, pada mesyuarat sulung Board of Peace di Washington.

Trump turut menyentuh serangan udara AS pada bulan Jun, denan menyatakan potensi nuklear Iran telah “dimusnahkan”.

“Anda akan mengetahui dalam tempoh 10 hari akan datang.

“Saya rasa tempoh itu sudah mencukupi, 10, 15 hari, hampir maksimum,” katanya.

Namun, Trump enggan memberikan butiran khusus, selain mengulang amaran tentang “perkara yang sangat buruk” dan menegaskan Iran perlu membuat perjanjian satu cara atau lain.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, Tehran berkata, ia tidak akan memulakan sebarang perang, tetapi “sekiranya diserang secara ketenteraan, Iran akan bertindak tegas dan seimbang” dalam menggunakan hak pertahanan diri.

“Semua pangkalan, fasiliti, dan aset pasukan bermusuhan di rantau ini akan menjadi sasaran sah.

“Amerika Syarikat akan menanggung sepenuhnya tanggungjawab langsung bagi sebarang akibat yang tidak dijangka dan tidak terkawal,” menurut surat tersebut.

Ancaman Trump untuk menyeran Iran, telah memacu kenaikan harga minyak.

Dalam pada itu, kapal perang korvet Rusia pada Khamis menyertai latihan tentera laut Iran yang dirancang di Teluk Oman, laluan laut penting untuk tenaga global.

Perunding Iran dan AS bertemu pada Selasa, dan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, mereka bersetuju pada “prinsip panduan”.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, kedua-dua pihak masih berbeza pendapat dalam beberapa isu.

Trump berkata “rundingan baik sedang dijalankan”, dan seorang pegawai kanan AS berkata, Iran akan mengemukakan cadangan bertulis tentang bagaimana menangani kebimbangan AS.

Trump menyeru Tehran untuk menyertai AS di “jalan menuju keamanan”.

“Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear, sangat mudah. Anda tidak boleh ada keamanan di Timur Tengah jika mereka mempunyai senjata nuklear,” katanya.

Iran menolak membuat konsesi besar terhadap program nuklearnya, walaupun menegaskan ia untuk tujuan aman.

AS dan Israel sebelum ini menuduh Tehran cuba membangunkan bom nuklear. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast