Anggota penguatkuasa KPDN melakukan tinjauan pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan pelaksanaan Program Bazar Ramadan Rahmah di empat lokasi terpilih di ibu negara dengan menyediakan juadah di bawah RM5 menerusi inisiatif Menu Rahmah.

Turut dilaksanakan iaitu menggerakkan anggota penguat kuasa bagi memantau pencatutan harga dan memastikan pematuhan peraturan sepanjang Ramadan.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, program Bazar Ramadan Rahmah yang dimulakan sejak 2023 itu diteruskan pada tahun ini dengan kerjasama padu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman bercakap ketika sidang media pada Program Walkabout di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 FEBRUARI 2026

“Tujuan utama kita mengadakan program ini adalah untuk menyediakan juadah di bawah nilai RM5 seperti yang kita jenamakan sebagai Menu Rahmah.

“Di Bazar Tasik Permaisuri sahaja hari ini terdapat lapan gerai yang turut serta,” katanya selepas melakukan walkabout ke bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah peniaga yang menyertai inisiatif tersebut dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Selain memastikan harga berpatutan, KPDN turut memberi penekanan terhadap aspek pemantauan bagi mengelak sebarang aktiviti penjualan secara berlebihan atau pencatutan harga oleh peniaga di bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 99 anggota penguat kuasa ditempatkan di seluruh bazar Ramadan di ibu negara bagi menjalankan pemeriksaan berkala, termasuk memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas dan tidak mengelirukan pengguna.

“Kita nak pastikan tiada peniaga yang mencatut. Tanda harga mesti dipamerkan dengan jelas, sama ada sepinggan, sesenduk atau mengikut kuantiti yang dijual supaya pengguna tidak terkeliru,” tegasnya.

Beliau berkata, peniaga yang gagal mematuhi arahan mempamerkan harga boleh dikenakan kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan turut melibatkan alat timbang dan sukat yang digunakan peniaga bagi memastikan ia telah ditentusahkan dan tidak dimanipulasi.

“Kita beri peringatan dan amaran kepada mana-mana peniaga supaya hanya menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan. Penguat kuasa KPDN akan terus bertugas di seluruh bazar Ramadan di Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengenal pasti gerai terlibat dengan inisiatif itu boleh melihat logo dan paparan “Menu Rahmah” yang ditampal dengan jelas pada khemah atau gerai masing-masing, selain hebahan melalui sepanduk di kawasan bazar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast