KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan pemilikan sahamnya kepada Jawatankuasa Khas Siasatan, Khamis lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, berdasarkan kepada laporan awal yang diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham oleh Azam tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa itu juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara tersebut.
“Jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan dikemukakan kepada pihak yang berkuasa termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam tersebut.
Terdahulu, Azam dikaitkan dengan pemilikan saham berjumlah 17.7 juta dengan harga belian sebanyak RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd..
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menjelaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur penjawat awam. – MalaysiaGazette
















