Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan rasa hairan apabila kes salah guna kuasa yang didakwa melibatkan Exco Terengganu secara tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan tahun ini.

Sedangkan, ujar beliau, kes itu didakwa berlaku pada 2018 dan 2020, sebelum ini senyap tanpa sebarang keputusan yang jelas.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada selama enam tahun dari 2020 hingga tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendapati sebarang perkembangan baharu, tetapi tiba-tiba menjumpainya hari ini.

“Lebih mengundang tanda tanya apabila Kerajaan Madani sedang berada pada titik paling lemah dengan pelbagai isu yang mengaitkan kepimpinan tertinggi negara termasuk pendedahan demi pendedahan kebelakangan ini.

“Dalam suasana sebegini, tindakan terhadap wakil Pas yang selama ini dikenali bersih daripada rasuah pastinya menimbulkan persepsi awam bahawa ada agenda tertentu di sebaliknya.

“Kita menjangkakan selepas ini mungkin akan muncul lagi kes-kes seumpama ini. Apa pun, kita kekal tenang dan serahkan kepada proses mahkamah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan, namun dalam negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang, prinsip yang mesti dijunjung ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Sehubungan itu, ujarnya, Exco berkenaan tidak perlu meletak jawatan kerana tugasnya tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa jua keadaan sekali pun.

Media hari ini melaporkan SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri itu kerana disyaki salah guna jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat GLC di negeri itu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman. – MalaysiaGazette

Disyaki guna jawatan dan kedudukan, SPRM tahan Exco Terengganu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast