KULAI – Seorang lelaki berpura-pura bertanya arah sebelum melarikan kereta seorang warga emas di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Taman Putri di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian iyang tular di media sosial tu berlaku pukul 3.15 petang di tempat letak kereta di pasar raya berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa seorang wanita berusia lingkungan 70-an meletakkan keretanya jenis Perodua Viva berwarna biru gelap bernombor pendaftaran JLW6958 di tempat letak kereta sebelum berjalan ke pintu masuk pasar raya.
“Ketika itu, suspek yang dipercayai seorang lelaki yang memakai pelitup muka berpura-pura bertanya arah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak merampas kunci kereta yang dipegang mangsa sebelum melarikan kenderaan milik mangsa.
Akibat kejadian tersebut mangsa yang kehilangan kereta terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000.
Sehubungan itu, Seng Lee berkata, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/379a Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 379a Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh juga dikenakan denda,” katanya.
Pihaknya menyeru orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai 07-6632222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385.
“Polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta barangan peribadi bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.
Polis turut mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Terdahulu polis mengesan suatu video tular yang dimuat naik di media sosial memaparkan kejadian seorang individu yang melarikan sebuah kereta. – MalaysiaGazette
















