KUALA LUMPUR – Seorang penganggur cedera di bahagian tangan kiri sepanjang tiga sentimeter (cm) selepas dilibas seorang lelaki menggunakan sebilah pisau di Jalan 2/89a, Taman Ikhsan di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa mengenai insiden itu pukul 12.59 tengah malam, pada Sabtu.
Menurut Rosdi, dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa cuba menenangkan suspek dalam keadaan tidak berpuas hati dan membawa pisau untuk menakut-nakutkan penghuni di Pangsapuri Sri Melaka berhubung isu parkir.
“Mangsa yang berusia 33 tahun itu mendapati seorang lelaki yang dikenali dalam keadaan tidak berpuas hati sambil membawa pisau untuk menakutkan penghuni flat berhubung isu parkir.
“Semasa mangsa cuba meleraikan keadaan, suspek yang berusia 29 tahun itu telah melibas pisau ke arah pengadu hingga terkena lengan kiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat mangsa, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menangkap suspek pukul 1.53 tengah malam, pada Sabtu.
“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 10 rekod lampau, masing-masing enam kes dadah dan empat kes jenayah.
“Manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek pula adalah negatif dari sebarang jenis dadah,” katanya.
Jelasnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 21 hingga 24 Februari bagi membantu siasatan.
“Kes masih dalam siasatan lanjut. Motif kejadian adalah berpunca dari ketidakpuasan hati suspek berkenaan isu parkir.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, katanya lagi, mangsa kemudiannya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang dan tidak ditahan wad.
“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan hanya mengalami suppertrial abrasion wound. Panjang luka yang dialami pengadu kira-kira tiga cm. Tiada orang lain yang mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















