KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas kerugian RM664,278 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud dalam talian menerusi aplikasi Bos Pro dan Moo Moo Chat.
Mangsa yang merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS) berusia 74 tahun telah membuat 11 transaksi ke akaun bank berbeza sebelum menyedari tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti dijanjikan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 Jumaat lalu kira-kira pukul 10.40 pagi.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai perunding dan pensyarah sambilan di sebuah universiti tempatan mendakwa, mula menyertai skim pelaburan tersebut pada 26 November 2025 selepas berkenalan dengan seorang wanita warga Cina melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah memperkenalkan pelaburan melalui aplikasi Moo Moo Chat dan seterusnya membimbing mangsa memuat turun satu lagi aplikasi dikenali sebagai Bos Pro bagi tujuan pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi secara berperingkat ke dalam akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM664,278,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pada 30 Januari 2026, mangsa mendapati tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum menyedari dirinya telah ditipu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan. – MalaysiaGazette
















