PARIS, Perancis – Iran memberi amaran sebarang serangan oleh Amerika Syarikat (AS) akan dibalas “dengan ganas”, kata jurucakap kementerian, Esmaeil Baqaei.
Kenyataan itu susulan ancaman Presiden Donald Trump terhadap kemungkinan melakukan serangan terhad, pada masa sama berdepan dengan para pelajar universiti yang mengadakan protes baharu.
Ancaman dari Tehran dan Washington berlaku ketika kedua-dua pihak berusaha mencapai persetujuan dalam rundingan tidak langsung yang dijadualkan bersambung di Switzerland pada Khamis ini.
Ketika Iran berhadapan tekanan AS yang disokong oleh peningkatan kehadiran tentera di Timur Tengah, pelajar universiti memulakan semester baharu dengan protes anti-kerajaan, menghidupkan semula slogan protes nasional yang memuncak pada Januari lalu dan telah ditindak balas secara ganas.
Trump minggu lalu berkata, beliau sedang mempertimbangkan serangan terhad sekiranya Iran enggan membuat perjanjian, tetapi Kementerian Luar Iran menegaskan: “Sebarang serangan, walaupun terhad, “akan dianggap sebagai tindakan agresi. Titik.”
“Dan mana-mana negara akan bertindak balas terhadap tindakan agresi sebagai sebahagian daripada hak semulajadi mempertahankan diri dengan ganas. Itu yang akan kami lakukan,” kata Esmaeil.
Iran sedang menyediakan rancangan perjanjian mengenai program nuklearnya dan berkata ia bersedia menyerahkan draf cadangan kepada orang tengah dalam beberapa hari akan datang.
Tehran turut menegaskan program nuklearnya untuk kegunaan sivil, tetapi Barat percaya ia bertujuan membina bom atom.
Walaupun Iran menegaskan rundingan dengan AS hanya menumpukan kepada program nuklear, Washington mahu membincangkan sistem misil Tehran.
Trump pada Khamis lalu berkata, Iran mempunyai maksimum 15 hari untuk mencapai perjanjian, dan mencadangkan AS akan menyerang jika tiada persetujuan dicapai, menggunakan armada pesawat dan kapal yang dikumpulkan di rantau ini beberapa minggu lalu.
Kedua-dua negara telah menamatkan pusingan kedua rundingan tidak langsung di Switzerland minggu lalu di bawah pengantaraan Oman dan dijadualkan bersambung pada Khamis, menurut pengesahan Iran dan Oman, tetapi belum disahkan oleh AS. – Agensi
















