KUALA LUMPUR – Jenazah anak sulung kepada Amyza Aznan iaitu Allahyarham Andre Mikhail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Selangor paagi ini.
Allahyarham Andre atau nama sebenarnya Andre Mikhail Khairil Idzhar, 20, sebelum itu disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3, Keramat, Selangor.
Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, selebriti dan teman rapat hadir bagi memberi penghormatan kepada Allahyarham.
Antara artis yang hadir ialah Norman Hakim, Datin Umie Aida, Lisdawati, Diddie Alias, Ida Moin, Datuk Fizz Fairuz, Ellie Suriaty dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.
Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.
Semalam, Amyza merayu kepada mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dalam perubatan alternatif untuk membantu merawat Andre yang difahamkan berada pada tahap kritikal.
Amyza berkongsi berita sedih apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada Februari tahun lalu.
Tahun ini bulan yang sama, Amyza sekali lagi berdepan ujian berat apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan kanser tulang. – MalaysiaGazette
















