JOHOR BAHRU – Perbuatan seorang wanita menghilangkan diri selepas memalsukan dokumen bayinya terbongkar di Klinik Kesihatan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini Disember lalu.
Difahamkan perbuatan tersebut dilakukan semasa menyerahkan bayinya yang baru lahir kepada keluarga angkat supaya statusnya tidak dilihat meragukan.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Khairu Asri Ismail berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung kepada seorang bayi lelaki tersebut yang kini berusia lima bulan.
“Bayi berkenaan dilahirkan pada 3 September lalu dan dikenali sebagai Mohammad Aidil Rayyan.
“Selepas perbuatannya terbongkar, wanita berkenaan menghilangkan diri hingga penjaga bayi berkenaan berdepan kesulitan bagi melakukan proses pengambilan anak angkat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selepas dilahirkan ibu kandung Mohammad Aidil tidak mendaftarkan kelahirannya sebaliknya menyerahkan bayi itu kepada penjaga untuk tujuan dijadikan sebagai anak angkat.
Bagaimanapun katanya, ketika penjaga membawa bayi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Klinik Kesihatan HSI didapati dokumen diserahkan sebelum ini adalah palsu sebelum perkara itu dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Katanya, pada 23 Disember lalu Mohammad Aidil dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru untuk permohonan Perintah Interim Semasa Penangguhan Kes di bawah subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pelindung berhubung dengan penjaga kanak-kanak bagi perancangan pemeliharaan kanak-kanak namun individu tersebut gagal dikesan.
“Kini bayi berkenaan ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor bagi Pelindung melengkapkan siasatan,” katanya.
Pihaknya juga sedang mengesan waris kepada seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Bunga Humaira yang bertindak menghilangkan diri.
Kata beliau, pihaknya difahamkan Bunga Humaira dilahirkan pada 5 November lalu dan diserahkan oleh ibu kandungnya yang merupakan warga asing kepada penjaga pada 18 November lalu.
“Penjaga mendakwa wanita itu menyerahkan bayinya kerana tidak mampu memberi jagaan namun usaha mereka untuk menjadikannya sebagai anak angkat gagal apabila wanita itu bertindak menghilangkan diri,” ujarnya.
Bayi berkenaan juga katanya, tidak didaftarkan kelahirannya.
“Pada 22 Januari lalu, satu Perintah Interim Semasa Tempoh Penangguhan Kes Di Bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 dikeluarkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru dengan menempatkan kanak-kanak kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) bagi tempoh 2 bulan,” katanya.
JKM juga sedang mengesan waris bayi perempuan berusia tiga bulan, Nur Aluna Aisyah.
“Penjaga bayi berkenaan mendakwa kanak-kanak itu diserahkan kepada mereka di Pulau Pinang.
“Ibu kandungnya dikenali sebagai Aini didakwa melarikan diri selepas bersalin.
“Bayi berkenaan kini ditempatkan sementara di bawah Jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai melalui perintah Interim Semasa Penangguhan Kes di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya. – MalaysiaGazette
















