KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membenarkan jalan raya awam yang dibina di atas tanah miliknya dijual atau diserahkan kepada pihak swasta, khususnya jalan utama kerana ia merupakan aset awam dan strategik negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun begitu, dalam keadaan tertentu penglibatan pihak swasta dibenarkan secara terhad iaitu hanya melibatkan aspek pengurusan atau penyelenggaraan jalan melalui perjanjian konsesi.
Namun, ia tidak sama sekali menjejaskan pemilikan kerajaan ke atas tanah atau mengubah status jalan tersebut sebagai jalan awam.
“Bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara dan akses awam tidak disekat sewenang-wenangnya, sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan adalah tertakluk kepada proses pewartaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Perkara itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Kanun Tanah Negara 1965,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) yang meminta kementerian menyatakan adakah akan membenarkan jalan raya yang dibina atas tanah milik kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta, dan apakah mekanisme untuk memastikan kepentingan rakyat iaitu akses awam tidak disekat.
Syed Ibrahim menjelaskan, proses berkenaan melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Beliau berkata, sekiranya ia melibatkan akses awam, keperluan penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik juga perlu dipenuhi.
Katanya, kerajaan kekal komited untuk memastikan setiap keputusan berkaitan rangkaian jalan awam dibuat secara telus dan berimbang demi menjamin kepentingan rakyat terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















