RAWANG – Patung berhala di Kuil Sri Muniswarar di Rawang telah dibawa keluar dengan selamat oleh pihak kuil dari tanah milik Yayasan Kubra awal pagi tadi.
Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff yang ditemui di lokasi ketika tinjauan MalaysiaGazette, menafikan dakwaan yang tular kononnya patung berhala berkenaan dimusnahkan ketika kerja-kerja perobohan dilaksanakan
“Yayasan Kubra menafikan sebarang naratif jahat tidak bertanggungjawab bahawa yayasan ini memainkan sentimen isu perkauman atau agama.
“Pihak Malaysia Hindu Sangam datang. Jadi mereka datang untuk melihat secara berdepan,” katanya pada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan yang tular di media sosial kononnya patung berhala di situ dimusnahkan semasa kerja-kerja perobohan dibuat.

Malah, semasa kehadiran MalaysiaGazette di kawasan berkenaan kira-kira 11.40 pagi tadi, wakil Malaysia Hindu Sangam dan pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor juga berada di lokasi terbabit.
Keadaan di situ juga tenang.
Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati pita kuning telah dipasang – menandakan ia menjadi kawasan larangan untuk diceroboh.
Muhammad Hariz sekali lagi menegaskan, kerja-kerja perobohan kuil itu tidak melibatkan isu perkauman atau agama, sebaliknya berkait dengan isu hak pemiikan tanah yang berdaftar terhadap penceroboh.
“Fokus di sini adalah tindakan meruntuhkan struktur haram atas tanah milik anak guam saya, malah Yayasan Kubra memberi peluang pada pihak kuil untuk memindah keluar patung berhala secara baik,” jelasya.
Binaan haram di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra di Rawang Perdana telah dirobohkan dalam satu operasi awal pagi tadi.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, operasi itu dilaksanakan di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjalan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang rusuhan.
Kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.
Pemegang Amanah Yayasan Kubra, Firdaus Wong Wai Hung berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja pembersihan terhadap struktur binaan tersebut setelah tempoh masa yang diberikan sehingga jam 11.59 malam semalam berakhir. – MalaysiaGazette
Bukan Islam terlibat dalam gerakan runtuh rumah ibadat haram di Rawang – Peguam
















