Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) bersama ahli-ahli parlimen pembangkang pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang mencadangkan kerajaan menarik balik bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan kuasa Peguam Negara, sebaliknya merujuk kedua-dua draf akta itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk semakan dan pindaan yang sewajarnya.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembangkang bimbang RUU had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri.

“Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, tanpa sebarang syarat tempoh 10, 20 atau lima tahun. Jadi, pindaan ini bercanggah dengan prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau turut menyifatkan RUU pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai tidak menepati reformasi menyeluruh kerana hanya memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

Berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding jenayah, dan pindaan yang dicadangkan hanya menyalin kuasa tersebut kepada Pendakwa Raya.

“Walaupun kuasa Peguam Negara dipindahkan, tiada mekanisme akauntabiliti diperkenalkan terhadap Pendakwa Raya. Ini menimbulkan kebimbangan berterusan masyarakat sivil kerana kuasa mutlak ini kekal tanpa semak imbang yang mencukupi,” tambah Setiausaha Agung Pas itu.

Takiyuddin menegaskan, rujukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen penting untuk memastikan pindaan dilakukan secara telus dan mematuhi Perlembagaan sebelum RUU dibentangkan semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast