Platform TikTok @Haily Only Official bukan milik Ketua Pengarah AKPS.

KUALA LUMPUR – Video yang tular serta akaun media sosial di platform TikTok @Haily Only Official adalah palsu dan bukan milik Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Jelas agensi berkenaan, video tersebut dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake sehingga mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi seolah-olah ia adalah kenyataan rasmi daripada Shuhaily.

Selain itu tambahnya, AKPS turut mengesan terdapat beberapa akaun media sosial lain yang tidak dimiliki atau diiktiraf oleh Ketua Pengarah AKPS itu, namun menggunakan nama, wajah dan video-video beliau bagi tujuan meraih publisiti serta keuntungan peribadi.

“Sehubungan itu, AKPS menegaskan,  tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menggunakan nama, imej dan identiti ketua pengarah pada akaun media sosial yang tidak sah.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, agensi tersebut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan palsu erta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi AKPS untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast