KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin mempersoalkan perubahan pendakwaan terhadap tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palepas) di Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Datuk Naran Singh berkata, perubahan itu dipertikaikan kerana sebelum ini siasatan kes itu ditetapkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kenapa ada perubahan? AGC kena jawab. Kenapa mereka tidak dituduh di bawah 302? Itulah saya cakap, negara ini ada dua undang-undang, satu untuk kenamaan, satu orang miskin.
“Nampaknya di sini bila terlibat tentang anggota tentera ini, tuduhan dibuat di bawah seksyen yang tidak kena mengena,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyuarakan ketidakpuasan hati kerana doktor yang menjalankan bedah siasat kali pertama ke atas mayat Syamsul Haris dan pegawai penyiasat terdahulu tidak dituduh menyembunyikan fakta.
“Kerana mereka sembunyikan fakta, tentang kematian. Pada mulanya kata tiada kecederaan yang menyebabkan kematian, kata sebab paru-paru, dan pegawai penyiasat yang pertama nak tutup kes,” dakwa beliau.
Beliau turut mempersoalkan kelewatan pemakluman kepada keluarga Allayarham Syamsul Haris yang dibuat pada 12 tengah malam tadi mengenai pertuduhan yang bakal dibuat.
Kelewatan itu, katanya, menyebabkan pihak peguam bela dan keluarga tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan hari ini.
“Sepatutnya perkara ini dimaklumkan siang (lebih awal) kepada kami. Ini perbuatan tidak wajar dengan sengaja tidak mahu maklumkan kepada kami supaya kita tidak dapat hadir,” tambahnya.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara , Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerusi kenyataan mengesahkan tiga jurulatih Palapes UTM dituduh pada jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi Johor.
Menurunya, Peguam Negara telah mengeluarkan arahan agar pertuduhan ke atas tiga pegawai ATM itu dibuat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang.
Mengulas lanjut, Naran berkata, beliau akan menjadi peguam pemerhati dalam kes berkenaan untuk menilai dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah sebelum membuat tindakan selanjutnya.
“Sekiranya kita dapat kertas-kertas (dokumen) berkaitan kes ini (yang boleh dikaji semula), kita akan buat permohohonan untuk AGC untuk pertuduhan di buat di bawah Seksyen 302 KK,” tambahnya.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
Bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris pada 30 Ogos lalu mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.
Kemudian, pada 28 Julai 2025, satu siasatan mati mengejut telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor susulan kadet Palapes UTM itu.
Pada 27 ogos 2025, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes ini berikutan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula dan bedah siasat kali kedua.- MalaysiaGazette
















