KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, kerajaan terus mengalihkan isu skandal mafia korporat – kali ini dengan memulakan siasatan wujud cubaan untuk menumbangkan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menjawab pendedahan menggegarkan hasil siasatan media antarabangsa Bloomberg yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan senjata oleh rangkaian mafia korporat yang beroperasi dalam gelap.
Menurutnya yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, rangkaian itu didakwa merampas syarikat melalui ugutan, pemerasan dan penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan.
Sebaliknya, ujar beliau, maklum balas kerajaan adalah dengan menyerbu pejabat Bloomberg, memburu wartawan dan melancarkan siasatan `tumbangkan kerajaan’ yang disifatkan sebagai tindakan yang lucu.
“Ini bukan tadbir urus. Ini adalah satu percubaan penutupan bukti di hadapan mata rakyat,” ujar beliau dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, laporan Bloomberg yang diterbitkan pada 10 dan 12 Februari lalu tidak menuduh Perdana Menteri membeli saham atau mengetuai mafia korporat.
Sebaliknya, ujar beliau, ia mendedahkan kebejatan dalam SPRM melibatkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki serta individu-individu yang digelar `mafia korporat’ dan penggunaan institusi penguatkuasaan sebagai senjata terhadap para usahawan dan syarikat yang berniaga dengan sah.
Kata beliau, dakwaan-dakwaan yang membahayakan negara ini menuntut kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“awatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara iaitu seorang yang dilantik oleh Perdana Menteri merupakan satu lakonan semata-mata, bukan kebebasan,” ujarnya.
Pada 2015, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang tidak berbuat apa-apa, selain laporan polis di beberapa negara untuk mendedahkan rasuah dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ujarnya, kerajaan ketika itu bertindak balas dengan mendakwa mereka di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan atas pertuduhan cuba mensabotaj ekonomi.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Majlis Peguam menyebutnya sebagai penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang.
“Namun sejarah telah membuktikan Khairuddin dan Matthias Chang adalah di pihak yang benar,” ujar beliau.
Katanya, hari ini skrip yang sama sedang diulang apabila wartawan didatangi polis dan pemberi maklumat diancam.
Hakikatnya, jika laporan Bloomberg itu tepat, konspirasi sebenar yang wujud adalah dalam kalangan mereka yang memakai lencana penguatkuasaan undang-undang itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau mendesak penubuhan RCI disegerakan bagi menyiasat SPRM dan rangkaian mafia korporat manakala Azam digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Selain itu katanya, perlindungan penuh perlu diberikan kepada kepada wartawan Bloomberg dan semua pemberi maklumat di bawah jaminan kebebasan akhbar. – MalaysiaGazette
















