KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Flyover Bunga Cengkih di sini, kira-kira pukul 7.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an.
Menurutnya, nahas berlaku apabila Mitsubishi Triton yang datang dari arah Balok menghala ke Indera Mahkota dipercayai melanggar lopak air sebelum hilang kawalan.
“Akibat kejadian itu, kenderaan berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu mangsa berusia 30 tahun yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi yang merupakan warga tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
“Pemandu Mitsubishi Triton pula mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk tindakan bedah siasat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















